Monday 16 January 2012

http://www.opendrive.com/files/MV82MzY3NDlfT1lLaG8/Hang%20Tuah.mp3

perbezaan fakta hikayat hang tuah dan sejarah melayu


PERBEZAAN SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH DALAM PELBAGAI ASPEK;
KONTEKS
          Sejarah Melayu lebih menceritakan mengenai salasilah diraja dan pemerintahan Melaka pada ketika itu sehingga kepada kejatuhan Melaka.Sejarah Melayu secara kasarnya terbahagi kepada dua bahagian.Bahagian pertama bersifat mitos yang mengandungi dongeng-dongeng, dewa-dewa keinderaan dan sebagainya yang menceritakan sejarah dahulu kala, khususnya asal usul bangsa serta raja-rajanya.[1] Manakala, dalam hikayat Hang Tuah pula menceritakan mengenai kisah hidup Hang Tuah.Hikayat Hang Tuah mengemukakan pengalaman-pengalaman hidup yang disuburkan dengan idealism yang tebal melalui penggunaan unsur-unsur mitos, rekaan dan dengan membesar-besarkan peristiwa yang melibatkan Hang Tuah.[2]

MOTIF
Setiap sastera sejarah yang dibuat sudah pasti mempunyai motif yang tertentu. Misalnya, dalam Sejarah Melayu, ada motif yang merupakan citra pemerian raja-raja Melaka dari (keturunan Iskandar Zulkarnain).[3]Sejarah Melayu juga dibuat bagi mengingatkan generasi lain tahu akan salasilah diraja pada zaman dahulu agar tidak ditelan zaman. Manakala, hikayat Hang Tuah pula dikarang kerana mengagung-agungkan mengenai kepahlawanan Hang Tuah sebagai pewira Melayu pada zaman dahulu, yang banyak berbakti  taat setia kepada pemerintahnya.Hang Tuah dianggap lambang dalam Hikayat Hang Tuah berasasan kegiatannya menjulang kebaktian terhadap bangsa Melayu yang meliputi zaman berzaman itu. “Dalam watak Hang Tuah terlukis chita2 bangsa Melayu, tentang kepewiraan bangsa itu”.[4]
ASAL USUL HANG TUAH
Perbezaan amat ketara sekali dilihat apabila dalam Sejarah Melayu menceritakan bahawa Hang Tuah adalah anak kepada seorang raja Bajung.Maka didengarnya ada anak raja Bajung yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati.[5] Fakta asal usul Hang Tuah ini sememangnya amat berbeza sekali dengan asal usul Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah berasal daripada seorang rakyat biasa yang melakukan kerja kampung dan berkedai sahaja untuk menyara keluarganya.Hang Tuah adalah anak kepada Hang Mahmud dengan isterinya Dang  Merdu. Hang Tuah anak Hang Mahmud di Sungai Duyung dan segala orang duduk di Sungai Duyung mendengar warta demikian itu: apabila Hang Mahmud mendengar khabar itu, maka kata Hang Mahmud pada bininya bernama Dang Merdu.[6]

NAMA HANG TUAH
Perbezaan terhadap nama Hang Tuah berlaku apabila, Hang Tuah dikenali sebagai Daeng Mempawah iaitu anak raja Bajung. Adapun anak raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya.[7] Penamaan Hang Tuah ini dikatakan dinamai oleh baginda Sultan.
Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah.Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikarma dipuji baginda.Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah;…”[8]
Manakala, dalam hikayat Hang Tuah tidak pula  menceritakan asal nama Hang Tuah yang digunakan sepanjang dalam penceritaan hikayat tersebut.

SAHABAT HANG TUAH
Perbezaan bilangan sahabat karib Hang Tuah dalam Sejarah Melayu
sememangnya amat mengelirukan. Sejarah Melayu mencatatkan bahawa, Hang Tuah mempunyai lapan orang sahabat.
          “… sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin:…”[9].
        Hikayat Hang Tuah karya Kassim Ahmad pula mencatatkan bahawa Hang Tuah mempunyai empat orang sahabat. Buktinya,
Maka ia pun bersahabat sama-sama budak-budak sama besar, seorang namanya Hang Jebat dan seorang namanya Hang Kasturi dan seorang namanya Hang Lekir dan seorang namanya Hang Lekiu.”[10]
HANG TUAH BERGURU
Pertentangan telah berlaku antara Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah, dikatakan dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah ini telah berguru sebanyak dua kali untuk mendapatkan kesatikan iaitu dengan Syeikh Mansur dan juga dengan Aria Putera di bukit Pancalusa, Manakala dalam Sejarah Melayu tidak dinyatakan mengenai Hang Tuah pergi berguru.Hikayat Hang Tuah;
Alkisah maka tersebutlah perkataan Hang Tuah pergi berguru di Bukit Pancalusa kepada Aria Putera.[11]
“…pada dusun itu ada seorang Syeikh Mansur namanya, tempat segala orang hulu Melaka berguru…”[12]
“Setelah sudah makan maka laksamana pun duduklah pada Syeikh itu berguru”[13]


 PEMBUKAAN MELAKA
Sejarah Melayu menceritakan mengenai pembukaan Melaka apabila semasa Raja berehat dibawah sepohon pokok selepas berburu, sedang berehat baginda melihat anjing buruannya dihambat pelanduk, melihat kejadian tersebut baginda lalu menamakan kawasan itu sebagai Melaka semperna nama sepohon pokok Melaka tempat baginda berehat.
“…baginda pun datanglah ke sana,berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu; sekoyong-koyong terjun anjing dihambat pelanduk.Titah baginda “ Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk … Maka titah baginda, “ Apa nama kayu itu? “ Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.” [14]

Sebaliknya dalam Hikayat Hang Tuah ada menceritakan mengenai pembukaan negeri Melaka, apabila semasa berburu anjing perburuan baginda telah digigit oleh pelanduk putih yang besar seperti kambing, dan anjing itu terjung ke dalam sungai. Di sebabkan terlalu terkejut melihat keajaiban dua ekor anjing baginda dikalahkan oleh pelanduk putih, maka baginda berasa sangat teruja untuk membuka negeri di tempat tersebut di atas nasihat bendahara.[15]  Penamaan negeri Melaka juga berasal daripada nama sepohon pokok Melaka yang berada ditengah-tengah pulau itu.
“Maka pada tempat itulah patik perbuatkan istana”. Setelah baginda mendengar sembah bendahara dan Tuan Tuah itu maka titah baginda, “ Jika demikian, baiklah negeri itu kita namakan negeri Melaka”.[16]

PERISTIWA HANG TUAH HENDAK DIHUKUM BUNUH
Peristiwa Hang Tuah yang dikatakan hendak dihukum bunuh oleh Raja Melaka amat berbeza faktanya dalam penulisan hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.Hal ini demikian kerana, dalam Sejarah Melayu mencatatkan bahawa  Sultan Mansur Syah mengarahkan bendahara Seri Nara Diraja untuk membunuh Hang Tuah,kerana telah melakukan maksiat dengan dayang-dayang diraja.Walaubagaimanapun, Seri Nara Diraja berasa kasihan akan Hang Tuah dan amat menghargainya lalu Seri Nara Diraja membawa Hang Tuah pulang ke rumahnya dan memasungkan Hang Tuah di dusunnya. Buktinya seperti ini;

“ Maka oleh Seri Nara Diraja dibawanya pulang ke rumahnya ; fikir dalam hatinya, “Adapun Hang Tuah ini, bukan barang-barang orang; tiadalah dua orang, orang yang di dalam negeri Melaka ini sebagainya pada zaman ini. Jikalau ia mati di mana duli Yang Dipertuan beroleh hamba seperti Hang Tuah ini?...
“…pasunglah sahaya supaya jangan berjalan.” Maka oleh Seri Nara Diraja disuruhnya bawa Hang Tuah kepada suatu dusunnya di hulu, di sana dipasungnya.[17]

Berbeza pula fakta yang dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah mengenai peristiwa hendak membunuh Hang Tuah ini. Diceritakan bahawa bendahara dititahkan oleh baginda untuk membuang Hang Tuah dan mati hidup semuanya berserah kepada bendahara untuk melakukannya.Namun bendahara tidak membuang dan membunuh Hang Tuah kerana dia tahu bahawa Hang Tuah tidak berdosa dan hanya difitnah oleh pegawai lain.Bendahara menitahkan orangnya untuk menghantar Hang Tuah ke dusunnya iaitu di Hulu Melaka. Semasa di dusun bendahara Hang Tuah telah bertemu dengan seorang Syeih lalu di berguru dengan Syeih tersebut.Kenyataannya seperti ini;
“Di suruh oleh bendahara pada orangnya empat orang hantarkan laksamana ke Hulu Melaka…Maka pada dusun itu ada seorang Syeikh Mansur namanya, tempat segala orang hulu Melaka itu berguru…”[18]

Perbezaan antara dua kenyataan ini amat ketara sekali kerana situasi adalah berbeza, pada Sejarah Melayu menyatakan bahawa Hang Tuah hidup dalam pasungan, tetapi dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah dikatakan dilepaskan di dusun bendahara dan berguru dengan Syeikh Mansur.

SITUASI KEMATIAN HANG JEBAT
Di sini akan dilihat bahawa terdapat perbezaan situasi mengenai cara Hang Jebat meninggal. Situasai yang berlainan antara yang dicatat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang mungkin mengelirukan pembaca.Catatan dalam Sejarah Melayu menyatakan bahawa Hang Jebat telah mati ditikam oleh Hang Tuah semasa petarungan mereka di istana.Buktinya,
“Maka segera ditikam oleh Hang Tuah dari belakangnya terus ke hulu hati. Maka kata Hang Jebat, “ Hei Tuah! Demikiankah lelaki menikam mencuri dan mengubah waadnya? Engkau dua tiga kali lekat kerismu, aku suruh tanggalkan juga; aku sekali  lekat kerisku, engkau tikam,” Maka sahut Hang Tuah “Siapa bersetia dengan engkau orang derhaka.” Maka ditikam pula seliang lagi, maka Hang Jebat pun matilah.[19]
Berbeza pula dengan situasi dalam Hikayat Hang Tuah, apabila Hang Jebat mati di dalam pangkuan Hang Tuah setelah beberapa kali berlakunya pertelingkahan antara dua sahabat ini.Hang Jebat juga tidak terus mati semasa ditikam oleh Hang Tuah , tetapi cedera sahaja, dan Hang Jebat juga telah melakukan amukan  di pasar Melaka menyebabkan ramai yang mati.Hang Jebat dikatakan mati dalam pangkuan Hang Tuah.

“…Setelah sudah makan sirih itu, maka Hang Jebat pun minta huraikan barut lukanya itu. Laksamana pun tahulah akan si Jebat hendak mati itu; maka segera dihurainya barut luka Hang Jebat itu.Demikian barut itu terhurai, maka darah pun menyembur-nyembur ke mukanya dan keluar darahnya di hidungnya dan mulutnya dan matanya dan telinganya dan dari segenap romanya pun keluar darah bergumpal-gumpal. Maka Hang Jebat pun rebah pada ribanya laksamana lalu mati.[20]

PEMBUANGAN BANGKAI HANG JEBAT
Di sini juga dapat dilihat perbezaan fakta apabila mayat Hang Jebat dalam Sejarah Melayu dikatakan dibuang ke dalam laut , manakala dalam Hikayat Hang Tuah mencatatkan bahawa mayat Hang Tuah digantung di tengah pasar untuk tontonan rakyat. Buktinya;
“Maka bangkai Hang Jebat pun ditarik oranglah, dibuangkan ke laut, amaka segala anak bininya semuanya habis diumbut, datang kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah pun habis digali dibuangkan ke laut.”[21]

“…maka bangkai Hang Jebat pun disuruh oleh laksaman tarik ke pintu gerbang pada tengah jalan raya besar dipasarkan supaya dilihat orang banyak pergi datang. Setelah genap tujuh hari, maka bangkai Hang Jebat pun digantung orang pula di tengah jalan raya.”
PERBEZAAN NAMA RADEN GALUH CENDERA KIRANA DENGAN RADEN GALUH EMAS AYU
Penggunaan nama bagi anak bentara Majapahit dalam kedua-kedua karya ini berbeza sama sekali. Sejarah Melayu mengelarkan anak bentara Majapahit kepada Raden Galuh Cendera Kirana manakala dalam Hikayat Hang Tuah pula mencatatkan nama anak betara Majapahit kepada Raden Emas Ayu.
“…peri raja Melaka  pergi ke Majapahit beristerikan Raden Galuh Emas Ayu itu.”[22]
Manakala dalam Sejarah Melayu mencatatkan;
          “maka Betara Majapahit berhadirlah akan mengerjakan Sultan Mansur Syah dengan anakanda baginda Raden Galuh Cendera Kirana.[23]

NAMA PUTERA SULTAN MANSUR SYAH DENGAN ISTERINYA ANAK BENTARA
MAJAPAHIT
Perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dengan isterinya Raden Emas Ayu atau Raden Galuh Cendera Kirana telah melahirkan seorang putera yang diberi nama Raden Bahar dalam Hikayat Hang Tuah dan Raden Kelang dalam Sejarah Melayu.Contohnya;
“Maka Raden Galuh pun berputeralah seorang laki-laki, terlalu amat elok rupanya. Baginda pun terlalu sukacita. Maka anak baginda itu dinamai Raden Bahar.”[24]
Sejarah Melayu ;
“Alkisah maka tersebutlah perkataan Raden Kelang, anak Sultan Mansur Syah dengan Raden Galuh Cendera Kirana…”[25]

 KISAH SULTAN MANSUR SYAH MANGKAT ATAU GHAIB
Peristiwa mengenai Sultan Mansur Syah sama ada baginda yang sebenarnya mangkat atau ghaib sukar untuk dikenalpasti.Hal ini demikian kerana, dalam Sejarah Melayu mencatatkan bahawa Raja Melaka iaitu Sultan Mansur Syah telah mangkat. Di kisahkan seperti ini;
“Hatta berapa lamanya, datanglah peredaran dunia ; maka Sultan Mansur Syah pun geringlah. Setelah diketahu baginda dirinya akan mangkat, maka baginda pun menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Ahmad…[26]

“Hatta selang beberapa hari, maka Sultan Mansur Syah pun mangkatlah ;…”[27]
Namun, dalam hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa, raja Melaka telah ghaib setelah baginda pengsan setelah timun yang dibawanya merupakan tengkorak orang.Selama dalam pengsan raja Melaka telah bermimpi Allah Taala setelah sedar baginda berjalan mengikut Allah Taala dengan penuh keinsafan dan tidak tahu ke mana tujuannya dia berjalan mengikut Allah Taala.Baginda pun ghaib dalam berjalan dan tiada khabar mengenainya.
“.timun sekerat itu pun menjadi tengkorak orang….Maka raja pun bermimpi dalam pengsan itu suatu suara kedengaraan pada raja…Maka raja pun jagalah daripada pengsan itu lalu berjalan pula, tiadalah berhenti lagi, sikut-ikut diberi Allah Taala kakinya berjalan itu dengan sangat ia insaf akan dirinya ; makin bertambah-tambah syukur ia kepada Allah Taala. Maka tiadalah lagi tersebut perkataan raja Melaka berjalan itu, tiadalah ketahuan perginya, sekoyong-koyong ghaib dalam berjalan itulah, tiada kedengaran wartanya.”[28]


SIAPA SULTAN MAHMUD SYAH SEBENAR ?
Di khabarkan bahawa dalam Sejarah Melayu dinyatakan, Sultan Mahmud Syah merupakan anak kepada  Sultan Alau’ d-Din yang merupakan Raja Melaka selepas pemerintahan Sultan Mansur Syah.Baginda Sultan Mahmud Syah telah memegang takhta sebagai Raja Melaka setelah kemangkatan ayahandanya. Kemudian Sultan Mahmud Syah ini telah berisiterikan anak Sultan Muhammad Syah, raja Pahang ; beranak tiga orang, yang tua lelaki bernama Raja Ahmad, yang dua lagi itu perempuan.[29] Di sini agak mengelirukan faktanya kerana,dalam Hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa Sultan Mahmud ini adalah anak kepada Tun Teja bersama dengan tuanku Syah Alam dan anak bongsu Tun Teja pula diberi nama Sultan Muhammad Syah.
“ Setelah genap bulannya maka Tun Teja pun berputera pula seorang laki-laki, terlalu elok rupanya, hampir-hampir ayahada baginda.Maka oleh baginda dinamai anakanda baginda ketia-tiga itu.Adapun perempuan dinamai Puteri Gunung Ledang, laki-laki yang tengah dinamai Sultan Mahmud, yang bongsu dinamai Sultan Muhammad”.[30]
LAKSAMANA HANG TUAH MANGKAT
Sejarah Melayu menyatakan bahawa Laksamana Hang Tuah telah mangkat dan segala pekerjaannya sebagai Laksamana baginda Raja Melaka telah di ambil alih oleh mertuanya. Namun, di dalam Hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa Hang Tuah pergi menghilangkan diri setelah Melaka jatuh ke dalam tangan Feringgi, Hang Tuah dikatakan masih hiduo dan dijumpai di Hulu Perak dan mati hidupnya tidak diketahuan oleh mana-mana orang pun. Contoh keratan teks ;
 Sejarah Melayu;
                   “Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat-Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan ; tiga hari baginda tiada nobat.” [31]
Hikayat  Hang Tuah;
                   “ Maka Tun Tuah pun tiada tersebut lagi, di dalam negeri itulah.Tetapinya, kata  orang, si Tuah tiada mati , kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki dan aulia pada segala laki-lakiu.Maka sekarang sekali khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan.”[32]
SIAPA HANG NADIM?
Kekeliruan berlaku pada kewujudan watak Hang Nadim dalam Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah. Sejarah Melayu menceritakan bahawa Hang Nadim ini adalah menantu kepada Laksamana Hang Tuah.Buktinya ;
“Adapun Hang Nadim itu sedia asal ternak Melaka, dan keluarga yang hampir juga kepada Bendahara Seri Maharaja, menantu kepada Laksaman Hang Tuah.
          Hikayat Hang Tuah pula menyatakan bahawa anak Hang Tuah bernama Hang Nadim.
          “Hendak kita gelar laksamana itu ada Hang Nadim itu kita hendak gelar laksamana, kerana Hang Nadim itu diangkat anak oleh bendahara.[33]
          “Maka disuruh oleh bendahara panggil ; maka Tun Nadim pun berlari-lari datang menghadap raja. Maka Tun Nadim pun duduk di bawah bendahara seraya menyembah. Maka kata raja, “Hai bendahara, inikah anak Laksamana ?” Maka sembah bendahara, “Daulat tuanku”…[34]

LATAR BELAKANG TUN TEJA
Sejarah  Melayu menceritakan bahawa, asal Tun Teja ini adalah daripada anak kepada seorang Bendahara Pahang yang bernama Seri Amar Bangsa Diraja.Nama Tun Teja sebenar ialah Tun Teja Ratna Menggala.

“Adapun akan Bendahara Pahang pada masa itu, Seri Amar Bangsa Diraja gelarnya ; dia ada beranak seorang perempuan, Tun Teja Ratna Menggala namanya…” [35]

Lain pula asal Tun Teja yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah kerana, dikatakan bahawa Tun Teja ini,merupakan anak kepada seorang bendahar di negeri Inderapura.
“…anak Bendahara Seri Buana di Inderapura itu terlalu sekali baik rupanya, Tun Teja namanya…”[36]
Dapat dilihat bahawa, tiada ketahuan sebenar akan asal sebenar Tun Teja.
SITUASI TUN TEJA DALAM PERSETUJUAN UNTUK BERNIKAH
Dalam Sejarah Melayu menceritakan bahawa, Tun Teja dengan mudahnya hendak bernikah dengan Sultan Abdul Jamal iatu anak kepada Sultan Muhammad raja Pahang yang pertama.Di ceritakan seperti ini ;
“Maka hendak dibuat isteri oleh Sultan Abdul Jamal akan Tun Teja itu; maka Bendahara Pahang pun kabullah, sekadar lagi bertangguh musim datang akan bekerja.[37]
Berlainan pula terhadap situasi yang berlaku dalam Hikayat Hang Tuah kerana, Tun Teja ini amat diberahikan oleh raja Melaka dan rombongan telah dihantar untuk meminang Tun Teja namun, rombongan itu telah ditolah oleh Tun Teja dan menyebabkan Raja Melaka sangat marah.
“Maka bendahara pun bertanya anaknya, “Hai anakku, buah hati aku ; akan sekarang raja Melaka menitahkan Tun Bija Sura dan Tun Utama datang meminag anakku? Adapun kulihat anakku pun besarlah ; patutlah akan berumah bersuami. Pada bicara aku, baiklah anakku bersuami akan Yang Dipertuan Melaka itu, kerana baginda raja besar,…Setelah sudah Tun Teja mendengar kata ayahnya demikian itu, maka Tun Teja pun berpalis dan masam mukanya,… “Yang enggang sama enggang, yang pipit itu sama pipit juga! Adakah anak raja bukit Siguntang beristerikan anak Bendahara Seri Buana ini. Tiada adatnya demikian.[38]
TUN TEJA TUNANGAN SIAPA?
Ada yang menyatakan bahawa Tun Teja ini merupakan tunang kepada Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Jamal. Namun ada juga yang menyatakan bahawa Tun Teja ini merupakan tunang kepada Megat Terengganu yang bernama Megat Panji Alam seperti tercatat dalam Hikayat Hang Tuah
Sejarah Melayu ;
“Maka Seri Wak Raja pun berkhabarkan peri baik parasnya Tun Teja, anak Bendahara Pahang, tiadalah ada samanya seorang jua pun pada zaman ini ; tetapi sudah bertunangan dengan Sultan Pahang, hampirlah akan duduk.[39]
Hikayat Hang Tuah ;
                    “Maka sedang Raja Melaka lagi Tun Teja tiada mahu, istimewa hambanya pula ia mahu. Seperkara pula, ia sudah bertunangkan Megat Terengganu yang bernama Megat Panji Alam itu…”[40]
MELARIKAN TUN TEJA
Sejarah Melayu menceritakan bahawa Tun Teja telah dibawa lari oleh Hang Nadim yang merupakan menantu kepada Hang Tuah. Hang Nadim telah menggunakan pelbagai cara untuk medapatkan Tun Teja demi Raja Melaka. Hang Nadim telah bersahabat dengan Nakhoda yang bernama Saiyid Ahmad agar memudahkan dia utuk melarikan Tun Teja. Begitu juga denga seorang perempuan tua pelulut yang bersubahat dengan Hang Tuah untuk mendapatkan Tun Teja dan membujuk hatinya untuk mengikut Hang Nadim ke Melaka.[41]Hang Nadim berjaya mendapatkan Tun Teja untuk Sultan Mahmud Syah dan baginda berasa sangat gembira lalu memuji-muji akan tindakan yang dilakukan oleh Hang Nadim kepadanya.
Sebaliknya berlaku dalam catatan Hikayat Hang Tuah apabila Tun Teja ini telah dilarikan oleh Hang Tuah,Hang Tuah telah ke Inderapura kerana ingin mendapatkan Tun Teja untuk Raja Melaka yang amat berahi akannya.[42] Hang Tuah telah berusaha untuk menawan hati Tun Teja dan hendak membawanya lari ke Melaka, pelbagai usaha telah dilakukan sehinggakan Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja ,namanya Dang Ratna.[43]Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja setelah Tun Teja telah dipujuk dengan ilmu pengasih iaitu dengan menggunakan ‘jebat’ dengan memalitkannya di tempat duduk Tun Teja.
CARA UNTUK MEMBUJUK HATI TUN TEJA
Hang Nadim memberikan pelulut kepada si pelulut itu  dan menggunakan pelulut untuk membujuk hati Tun Teja. Maka Si pelulut itu pun, menyapukan lulut itu ke seluruh badan Tun Teja Sambil membujuknya dengan kata-kata yang lemah lembut.Maka Tun Teja pun berlembut hati dan menurut segala kata yang diutarakan oleh si pelulut itu mengenai ;
“Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya diperisteri oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan, tuanlah  kelak jadi raja perempuan di Melaka. Jikalau tuan diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan Pahang.Jikalau tuan jadi isteri perempuan Pahang kepada tuan. [44]

Berlainan pula cara yang digunakan untuk mebujuk hati Tun Teja dalam Hikayat Hang Tuah iaitu,laksamana Hang Tuah menggunakan jebat sebagai pengasih untuk melembutkan hati Tun Teja. Jebat yang digunakan adalah diperoleh daripada seorang tua yang berjual jebat.[45]
ANAK TUN TEJA
Sejarah Melayu menceritakan bahawa Tun Teja mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Puteri Adma Dewi. Namun dalam Hikayat Hang Tuah tidak dinyatakan pun yang Tun Teja ini melahirkan puteri, tetapi sepanjang Tun Teja berkahwin dengan Raja Melaka, Tun Teja hanya melahirkan dua orang putera.
setelah genap bulannya maka Tun Teja pun berputera pula seorang laki-laki, terlalu elok rupanya, hampir-hampir ayahanda tiga itu…, laki-laki yang tengah dinamai Sultan Mahmud, yang bongsu dinamai Sultan Muhammad.[46]


ZURIAT HANG TUAH
Hang Nadim dikatakan menantu kepada Laksamana Hang Tuah iaitu suami kepada anak laksamana dengan ister keduanya daripada golongan keluarga Bendahara Paduka Raja.[47]Laksamana Hang Tuah mempunyai ramai anak hasil daripada perkahwinannya dengan dua orang isteri.Laksamana mempunyai lima orang anak.Buktinya:
“Adapun akan Laksaman Hang Tuah rahimuLLah beristeri dua orang, seorang saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok, beranak tiga orang, yang tua perempuan Tun Sirah namanya, duduk dengan Temenggung Khoja Hussain, beranakkan Tun Abdullah ; yang tengah laki, Tun Biajid namanya ; yang bongsu perempuan, Tun Daerah namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud Syah, beranak seorang perempuan, Raja Dewi namanya. Seorang lagi isteri Laksamana Hang Tuah, keluarga Bendahara Paduka Raja, beranak dua orang, yang tua lelaki bergelar Sang Guna; yang muda perempuan bernama Tun Emas Jiwa, duduk dengan Hang Nadim, beranak seorang lelaki bernama Tun Mat Ali, ayah Tun Hamzah; akan Tun Hamzah beranakkan Tun Ali, bergelar Seri Petani; sebab itulah maka Laksamana Hang Tuah , anak cucunya Melayu disebut orang datang sekarang.[48]
Namun, dalam Hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa Hang Tuah hanya mempunyai seorang anak yang bernama Hang Nadim atau Tun Nadim.[49]
ASAL USUL PUTERI GUNUNG LEDANG
Puteri Gunung Ledang dikatakan anak kepada Raden Mas Ayu iaitu isteri kepada paduka baginda Raja Melaka seperti yang dapat dilihat dalam kenyataan Hikayat Hang Tuah di bawah;
Setelah genap bulannya, maka Raden Emas Ayu pun berputeralah seorang perempuan, terlalu elok paras; maka dipeliharakan sepertinya…Adapun perempuan dinamai Puteri Gunung Ledang.[50]
Namun, dalam Sejarah Melayu tidak dinyatakan akan asal usul Puteri Gunung Ledang, tetapi diceritakan akan mengenai Puteri Gunung Ledang yang sangat rupawan dan tinggal di Gunung Ledang di bawah jagaan pengetuanya yang bernama Dang Raya Rani.[51]
PEMINANGAN PUTERI GUNUNG LEDANG
Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang juga amat berbeza sekali antara Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah.Catatan dalam Sejarah Melayu menyatakan bahawa Sultan  Mahmud telah menghantar dua orang laksamana untuk meminang Puteri Gunung Ledang, iaitu Laksamana Tun Mamad dan Sang Setia.[52] Semasa hendak ke puncak Gunung Ledang untuk berjumpa dengan puteri tersebut pelbagai halangan dan peristiwa aneh telah mereka lalui, sehinggakan mereka bertemu dengan seorang nenek tua yang bongkok lipat tiga.Nenek tua itu sebenarnya jelmaan Puteri Gunung Ledang.Hasrat untuk meminang telah disampaikan oleh Laksaman dengan Sang Setia, dan Puteri Gunung Ledang telah memberi beberapa syarat yang begitu pelik iaitu;
“perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang ; hati kuman tujuh dulang; air mata setemoayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk;…” [53]

Hikayat Hang Tuah tidak pula menyatakan sedemikian, malah Puteri Gunung Ledang  itu merupakan tunang kepada Raja Culan dan baginda ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang setelah dia pulang daripada Terengganu dan juga Patani.
           “Setelah berapa lamanya Raja Culan duduk di Melaka itu, maka ia pun naik menghadap raja Melaka hendak bermohon pergi bermain ke Terengganu lalu ke Patani. Kehendak hatinya, tatkala sudah bermain segenap negeri itulah ia hendak kembali ke Melaka kahwin dengan Puteri Gunung Ledang itu…” [54]
BERKOTAKAN BATANG PISANG, IDEA HANG KADIM ATAU SEORANG BUDAK
            Singapura yang makmur telah di serang oleh ikan todak ramai yang telah mati , maka paduka Seri Maharaja telah menitahkan rakyatnya untuk berkotakan betis , maka dilompati oleh
todak itu, terus  berkancing ke sebelah.[55]Tiba-tiba datang seorang budak yang tidak diberi sebarang gelaran dalam penulisan Sejarah Melayu memberitahu kepada baginda Paduka Seri Maharaja untuk berkotakan batang pisang.
“…datanglah seorang budak berkata, “Apa kerja kita berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” [56]
“….maka dikerah kan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota.Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang.

Hikayat Hang Tuah pula menceritakan bahawa, idea untuk berkotakan batang pisang ini adalah daripada idea Hang Kadim iaitu anak kepada Hang Jebat;
“Ya Tuanku Syah Alam, pada bicara patik, ada suatu tipunya. Baik juga kita berkotakan batang pisang; cuba kalau-kalau diturut Allah Taala bertambah daulat Syah Alam”.
“…baginda pun bertitah, “Hai bendahara, segeralah kerahkan segala rakyat kita suruh perbuat akan seperti bicara budak ini”.

PEMBUNUHAN HANG KADIM ATAU SEORANG BUDAK
Malangnya dalam Sejarah Melayu budak yang memberi idea kepada Sultan untuk berkotakan batang pisang telah dibunuh tanpa belas-kasihan, hanya kerana kebijakkannya memberi pendapat itulah dia telah dibunuh tanpa diperiksa mana asal-usulnya.Contoh dapat dilihat pada kenyataan di bawah;
“Maka sembah Orang Besar-besar, “Tuanku, akn budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh, tuanku.” Maka titah raja, “Benarlah bagai kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia!” Maka adalah budak itu, tatkala ia dibunuh, maka ia menanggungkan haknya atas negeri itu; lalu ia pun dibunuh oranglah.[57]

Berlainan pula cerita yang dikarang dalam Hikayat Hang Tuah mengenai Hang Kadim, setelah negeri Inderapura itu tidak diserang oleh ikan todak lagi, maka Tuanku Syah Alam telah menganugerhkan gelaran kepada Hang Kadim kepada Orang Kaya Sang Setu dan dia telah dianugerahkan beberapa persalinan diraja.[58]Keadaan ini menyebabkan ramai pembesar-pembesar istana iri hati kepadanya, lalu mencari idea agar dapat menfitnahnya.Demikianlah fitnahnya:
“Maka patik bertemu Sang Setu itu berkata-kata dengan seorang perempuan di dalam istana tuanku ini, perempuan Dang Setia namanya.”[59]
Tuanku berasa sangat marah setelah mendengar fitnah itu, lalu menitahkan agar Sang Setu ini dibuang.Semasa dia diikat dan dibawa keluar, kepala Sang Setu telah ditindas lalu matilah Sang Setu.[60]
NAMA INDERAPURA
Hikayat Hang Tuah tidak dinyatakan asal-usul nama Inderapura itu. Namun, Sejarah Melayu menyatakan bahawa nama negeri Inderapura itu juga dikenali sebagai negeri Pahang.Buktinya:

“Adapun rumah perempuan tua itu dekat sebuah anak sungai kecil, ada sepohon kayu mahang, maka dinamai anak sungai itu Pahang, sungai Batang Pahang.Maka disebut oranglah negeri Indera Pura itu negeri Pahang.[61]

PEMERINTAHAN MELAKA
Hikayat Hang Tuah hanya menceritakan bahawa, pemerintahan Melaka diambil oleh Puteri Gunung Ledang iaitu anak kepada Raden Mas Ayu dengan Tuanku Syah Alam.Tetapi di dalam Sejarah Melayu pula, pemerintahan Melaka bermula daripada ;











Raja Iskandar Syah
 

Raja Besar Muda
 

Raja Tengah
 

Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah)
 

Sultan Abdul Syahid (Raja Ibrahim)

Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim)
 

Sultan Mansur Syah (Raja Abdullah)
 

Sultan Allauddin Riayat Syah (Raja Hussain)
 

Sultan Mahmud Syah (Raja Mamad @ Muhammad)
 

Sultan Ahmad Syah (Raja Ahmad)

SALASILAH RAJA MELAKA[62]
ALFONSO D’ ALBURQUERQUE RAJA PORTUGAL
Sejarah Melayu menyatakan bahawa penyerang Portugal yang datang ke Melaka itu bernama Alfonso d’Alburquerque.[63]Namun yang demikian, tidak dinyatakan pun sebarang nama orang Feringgi yang yang menyerang Melaka pada ketika itu, tetapi hanya diceritakan kepada pedagang-pedangang dan Kapitan Feringgi hendak berdagang di Melaka.[64]
KEJATUHAN MELAKA
Melaka yang pada asalnya makmur , akhirnya telah jatuh ke dalam tangan Feringgi (Portugis) yang menyerang Melaka.Tipu helah yang dilakukan oleh orang Feringgi terhadap Melaka yang pada asalnya ingin membeli sebidang tanah merupakan, salah satu cara mereka untuk memiliki Melaka.Serangan dan peperangan  yang dilakukan oleh orang Feringgi itu, menyebabkan Melaka tewas di dalam tangan Feringgi.Akhirnya, segala rakyat dan pembesar melarikan diri mereka ke sebuah tempat dan menamakan tempat itu sebagai negeri Johor Darul-Alam. Maka datang pula orang Wolanda yang menyerang Melaka, yang pada masa itu, Melaka telah berada di bawah tangan orang Feringgi. Maka orang Wolanda pun meminta bantuan daripada orang Johor untuk menyerang orang Feringgi di Melaka, dan satu perjanjian telah dibuat.[65]Akhirnya orang Feringgi telah kalah dalam peperangan antara Wolanda, Johor dan juga Feringgi.
Sejarah Melayu pula menceritakan bahawa Peringgi telah berjaya menawan negeri Melaka dengan begitu mudahnya dan segala pembesar dan juga melarikan diri mereka .Sultan Ahmad telah pergi ku hulu Muar,Sultan Mahmud Syah diam di Batu Hampar ,manakala bendahara tinggal di Lubuk Batu. Maka dengan kekalahan Melaka, maka orang Peringgi pun menduduki Melaka.[66]











5.0 PERSAMAAN
Hanya terdapat sedikit sahaja persamaan antara Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah. Antaranya ;
 PERSAMAAN DAPATAN NAMA MELAKA
Perolehan nama Melaka itu adalah berasal daripada sepohon pokok yang bernama pokok Melaka. Peristiwa yang berlaku dalam Hikayat Hang Tuah dan juga Sejarah Melayu hampir sama iaitu setelah penat berburu maka baginda raja Melaka telah besandar dan berehat di bawah sebatang pokok dan menyaksikan anjing buruannya dikalahkan oleh pelanduk putih.
Sejarah Melayu;
“Maka disuruh baginda tebas , diperbuat negeri. Maka titah baginda, “Apa nama kayu itu?” Maka sembah orang , “Kayu Melaka namanya, tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.” [67]
Hikayat Hang Tuah;
“Pada tengah pulau itu ada sepohon kayu Melaka namanya, ditebang pohon kayu itu. Maka pada tempat itulah patik perbuatkan istana.” Setelah baginda mendengar sembah bendahara dan Tuan Tuah itu maka titah baginda, “Jika demikian, baiklah negeri itu kita namakan negeri Melaka.”[68]
 PENGANUGERAHAN DAN PENGGUNAAN GELARAN  LAKSAMANA
Hang Tuah telah dianugerahkan dengan gelaran Laksamana disebabkan oleh kehandalannya. Gelaran ini telah diberikan oleh dua orang pembesar istana, yang pertama penganugerahan oleh Betara Majapahit di atas kejayaan Hang Tuah yang berjaya mengalahkan Taming Sari yang melakukan amukan di istana;
“Adapun kiai Tuah ini kita gelar Laksamana.”[69]
Penganugerahan juga telah diberikan oleh  Sultan Melaka kerana kebaktiannya yang telah membawa Tun Teja untuk baginda ;
“Hai Hang Tuah, kita anugerahi nama ‘Laksamana’ dan dudukmu di atas segala hulubalang.”[70]
Sejarah Melayu juga menggunakan turut menggunakan gelaran laksamana untuk Hang Tuah di atas keberaniannya:
“Setelah ia menghadap maka dianugerahi persalinan, dilekatkan bagindalah gelar Hang Tuah itu “Laksamana”. Maka masyhurlah gelar Hang Tuah “Laksamana” disebut orang.[71]

 PERISTIWA AMUKAN
Peristiwa amukan yang berlaku di istana adalah hampir sama dengan peristiwa amukan Taming Sari yang turut mengamuk di balairung istana.Sejarah Melayu menceritakan bahawa, orang yang mengamuk itu adalah orang Jawa, yang kemudiannya mengamuk setelah diketawakan oleh orang muda.Maka Sultan Mansur Syah memanggil Hang Tuah untuk mengatasi amukan orang Jawa itu.[72]
Walaubagaimanapun, dalam hikayat Hang Tuah turut berlakunya peristiwa amukan, apabila Taming Sari yang merupakan penjurit tua daripada Majapahit. Baginda raja Melaka telah menithakan Hang Tuah untuk mengalahkan Penjurit itu.Penjurit ini datang ke Melaka, kerana mendengar kehebatan Hang Tuah ini dan Taming Sari ingin menguji kehebatan Hang Tuah.[73]
 HANG TUAH DIHUKUM BUNUH
Hang Tuah telah difitnah oleh pembesar-pembesar yang dengki akannya sehinggakan baginda raja Melaka berasa sangat marah sehinggakan baginda menitahkan agar Hang Tuah ini di hukum bunuh. Raja Melaka menitahkan bendahara untuk membuang Hang Tuah dan hidup matinya adalah dalam tangan bendahara.[74]
Sejarah Melayu turut mencatatkan perkara sedemikian apabila, Hang Tuah telah difitnah bermukah dengan dayang dan menyebabkan Sultan Mansur Syah marah lalu menitahkan Seri Nara Diraja untuk membunuh Hang Tuah ;
“Hang Tuah disuruh baginda bunuh kepada Seri Nara Diraja.”[75](SM130)
 PENYESALAN MEMBUNUH HANG TUAH
Akibat daripada tindakan terburu-buru baginda maka, baginda berasa sangat menyesal kerana menitahkan agar Hang Tuah ini dihukum bunuh.Penyesalan ini dapat dilihat apabila, Sultan Mansur Syah ini terkenang akan Hang Tuah setelah tiada seorang pun yang berani untuk menentang Hang Jebat; Sultan Mansur Syah pun mengenang Laksamana Hang Tuah, titah baginda : “ Sayangnya si Tuah tiada, jikalau ada si Tuah , dapat ia menghapuskan kemaluanku.[76]
Penyesalan raja Melaka ini juga dapat dilihat dalam hikayat Hang Tuah; Sekarang apatah rupanya, tidakah Duli Yang Dipertuan menyesal?” Setelah raja mendengar sembah bendahara demikian itu, maka raja pun menangis, seraya bertitah, “Apatah daya kita ; sudahlah rupanya untung kita akan beroleh kemaluan.[77]
ORANG TUA MEMBANTU MELARIKAN TUN TEJA.
Kejayaan Tun Teja dilarikan juga diatas bantuan seorang nenek orang tua, yang dikenali sebagai pelulut dan juga inangda.Sejarah Melayu menceritakan bahawa Hang Nadim telah dibantu oleh seorang perempuan tua pelulut untuk mebujuk hati Tun Teja agar mengikutnya balik ke Melaka.[78]Manakala, dalam Hikayat Hang Tuah pula, Hang Tuah telah dibantu oleh seorang inagda yang mengasuh Tun Teja. Inangda telah memalitkan jebat di tempat duduk Tun Teja.[79]Hati Tun Teja pun lembut dan memudahkan untuk Hang Tuah memujuknya bersama pulang ke Melaka.
BERKOTAKAN BETIS DAN BATANG PISANG SEMASA SERANGAN IKAN TODAK
Persamaan telah diceritakan dalam Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah untuk berkotakan betis dan batang pisang semasa serangan ikan todak. Paduka Seri Maharaja telah menitahkan orang berkotakan betis; Maka baginda pun menitahkan orang berkotakan betis, maka dilompati oleh todak itu, terus berkancing ke sebelah.[80]
Hikayat Hang Tuah pula menceritakan bahawa Duli Syah Alam menitahkan kepada bendahara untuk memberitahu rakyat agar berkotakan betis untuk mengelakkan ikan todak itu; Maka segala rakyat itu pun disuruh berkota akan betisnya.Sebermula todak itu pun datanglah seperti hujan yang lebat ditikamnya dengan jongornya.[81]
Manakala, idea berkotakan batang pisang juga sama antara dua penulisan ini. Seorang budak dalam Sejarah Melayu memberitahu kepada baginda Sultan untuk berkotakan batang pisang; Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?[82]

Hang Nadim turut memberitahu kepada raja Melaka untuk berkotakan batang pisang untuk menghindar dari serangan todak; Baik juga kita berkotakan batang pisang.[83]

 KESANGGUPAN MENDAPATKAN KUDA TEZI
Kesanggupan Hang Tuah mendapatkan kuda  Sultan Mansur Syah atau kuda raja Melaka yang telah jatuh ke dalam telaga tahi.Tiada seorang pun yang berani mendapatkannya melainkan Hang Tuah sendiri yang mahu terjun ke dalam telaga tahi tersebut ini menunjukkan kebaktian dan kesetiaan Hang Tuah kepada baginda;
Sejarah Melayu;
“Hatta maka sekali persetua, kuda kenaikan Sultan Mansur Syah jatuh ke pelindungan tahi, seorang pun tiada hendak menambatkan tali kepada kuda itu. Setelah  dilihat oleh Laksamana Hang Tuah orang yang berates-ratus itu seorang pun tiada mau turun mengambil kuda itu, maka Hang Tuah pun segera terjun ke dalam pelindungan itu, ditambatkannya tali pada kuda itu. Maka diudar oranglah ke aras. Setelah kuda itu naik, maka Hang Tuah pun naik ;
Hikayat Hang Tuah;
“Setelah raja mendengar sembah laksamana itu, maka raja pun menyuruh mengambil kain tujuh kayu, lalu dianugerah akan laksamana. Maka kain tujuh kayu itu pun dibarutkan laksamana pada tubuhnya dari kepalanya datang ke kakinya. Setelah tubuhnya terbarut itu, maka diambil oleh laksamana tali,dipegangnya hujung tali itu, sebelah dipegang oleh orang yang di atas telaga itu. Maka laksaman pun menyelam dalam telaga tahi itu; dengan mudahnya juga kuda itu pun ditarik oranglah.Maka kuda itu pun lepaslah dari dalam telaga tahi itu.”[84]
PEMBINAAN ISTANA BARU SELEPAS KEMATIAN JEBAT
Selepas kematian Hang Jebat, Sultan Mansur Syah telah berpindah dan menitahkan kepada pembesar bendahara untuk membina istana baru inilah yang diceritakan dalam Sejarah Melaka. Sama juga seperti dalam hikayat Hang Tuah apabila, raja Melaka berpindah dari istana Hang Jebat mati dan menitahkan kepada bendahara dan laksamana untuk mebina istana yang baru.Buktinya dapat dilihat seperti di bawah;
Sejarah Melayu;
“Adapun akan Sultan Mansur Syah pun pindahlah, tiada mahu diam lagi pada istana tempat Hang Jebat mati itu.Maka baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat istana.[85]
Hikayat Hang Tuah;
“Setelah sudah laksamana pun masuk menghadap raja. Maka titah raja, “Hai bendahara dan laksamana, segerlah bangunkan kita istana yang lain; kita hendak buangkan ke laut istana itu.”
Di sini dapat dilihat bahawa dalam kedua karya ini, betapa bencinya pemerintah Melaka terhadap Hang Jebat sehinggakan ingin membina istana baru dan tidak mahu menggunakan istana yang telah di tinggal oleh Hang Jebat si Penderhaka itu.

 MELAKA DI SERANG FERINGGI
Kejatuhan Melaka dalam kedua karya ini adalah sama, apabila.Kedatangan orang Feringgi telah menjatuhkan kedaulatan kesultanan Melaka pada ketika itu. Sejarah Melayu mencatatkan bahawa, kesultanan Melayu Melaka telah jatuh apabila negeri ini telah diserang oleh orang Feringgi.[86]
Begitu juga peristiwa kejatuhan Melaka yang jatuh ke dalam orang Feringgi , sebermulanya mereka berdagang ,kemudian membeli sebidang tanah lalu membuka gedung dengan pelbagai senjata dan meriam untuk menunduk dan memiliki Melaka.Sehinggakan ramai rakyat dan pembesar melarikan diri ke Johor.Kemudian, orang Wolanda telah bersama dengan orang Johor untuk menentang orang Feringgi di  Melaka.[87](HT588-594)

           


[1] Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional,  Selangor:, Pelanduk Publications, 2004, hlm.5.
[2] Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional,  Selangor:, Pelanduk Publications, 2004, hlm.2.
[3] Lutfi Abas, kritikan Karya Sastera sebagai karya seni, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.35.
[4] Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional,  Selangor:, Pelanduk Publications, 2004, hlm.72.

[5] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.103.
[6] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.22.
[7] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.104.

[8] Ibid., hlm.105.
[9] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.105.

[10] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.24.
[11] Ibid., hlm.34.
[12] Ibid., hlm.352.
[13] Ibid., hlm.353.

[14] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.71.
[15] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.67.
[16] Ibid., hlm.69.
[17] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.131.
[18] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.352.


[19] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.142.
[20] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.396.
[21] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.142.
[22] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.221.
[23] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.121.
[24] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.277.
[25] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.170.
[26] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.171.

[27] Ibid., hlm.172.

[28] Ibid., hlm.587.

[29] Ibid., hlm.192.
[30] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.478.
[31] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.220.
[32] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.594.
[33] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.355.

[34] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.478.

[35] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.221.
[36] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.111.

[37] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.221.
[38] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.113
[39] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.224.

[40] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.227.

[41] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.226.
[42] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.207.
[43] Ibid., hlm.209.

[44] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.227.
[45] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.232.
[46] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.478.
[47] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.241.
[48] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.242.

[49] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.368.
[50] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.478.
[51] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.214
[52] Ibid., hlm.213.

[53] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.215.

[54] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.486.
[55] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.68.
[56] Ibid.
[57] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.69.
[58] Ibid., hlm.504.

[59] Ibid., hlm.506.

[60] Ibid., hlm.507.
[61] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.98.
[62] Zainal Abidin Abdul Wahid et al, Malaysia Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm.49.

[63] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.267.
[64] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.589.
[65] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.592.
[66] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.270.
[67] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.71.
[68] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.69.
[69] Ibid., hlm.168.
[70] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.252.
[71] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.119.
[72] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm119.
[73] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.166.
[74] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.348.
[75] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.130.
[76] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.139.
[77] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.370.
[78] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.226.

[79] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.233.
[80] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.68.

[81] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.503.

[82] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.68.

[83] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.503.
[84] Ibid., hlm.283.
[85] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.143.
[86] A.Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),  Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.267-270.
[87] Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.588-594.